Cerita ini mengisahkan seorang warga emas bernama Pak Rahman, seorang pejuang kemerdekaan yang pernah hidup pada zaman pemerintahan Komunis di Tanah Melayu, pulang ke tanah air setelah 50 tahun merantau ke luar negara (England).
Setelah begitu lama menghilangkan diri, kepulangannya tidak dikenali lagi oleh penduduk kampungnya sendiri. Tambahan pula Pak Rahman sengaja merahsiakan identitinya kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi sedikit demi sedikit akhirnya orang kampung tahu siapa orang tua yang mereka anggap pendatang asing itu.
Selama berada di kampung itu, kesunyian menyelubungi hati Pak Rahman. Pun begitu, dia mengubatinya dengan mendekatkan hatinya kepada Tuhan. Kehadiran beberapa orang kampung yang tidak keberatan untuk berbual dengannya mengisi kekosongan hidupnya.
Pak Rahman juga sempat berbakti kepada penduduk kampung. Dia membantu keluarga miskin yang memerlukan bantuan. Dia juga membantu seorang pemuda yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.
Akhirnya penduduk kampung tahu siapa sebenarnya Pak Rahman. Dia disanjung dan dianggap sebagai seorang wira kemerdekaan.
===========================
ISBN-13: 978-967-408-159-1
Tarikh Terbit: 22 Aug 2013
Jumlah Muka Surat : 232
Berat(kg): 0.26
Kategori: Novel Dewasa, Novel Sejarah
Penulis: Abdul Latip Talib, Norazlinawati Yaakob
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
===========================
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
===========================
RM 20.00 |
Add to Cart |
Review
Wira yang tidak didendang, datangnya tidak diundang, dan wajahnya tidak dipandang. Itulah yang berlaku kepada Abdul Rahman Bin Abdul Rahim, seorang wira kemerdekaan yang tidak tercatat namanya dalam lembaran sejarah Malaysia. Pada saat komunis mengganas dan menggila di Tanah Melayu, Pak Rahman adalah seorang perwira. Puluhan komunis yang menyerang kampung mereka ditembak dan tumpas ditangan Pak Rahman. Lalu beliau diisytihar sebagai musuh utama komunis dan diburu sehingga memaksa beliau lari ke luar negara untuk menyelamatkan nyawanya.
Setelah puluhan tahun hidup merantau di Kota London, Pak Rahman akhirnya kembali ke kampung halaman. Namun, sudah tiada sesiapa pun yang mengenali dirinya yang tua dimamah usia. Dulu beliau adalah jaguh dan idola kampung, namun kepulangannya kali ini tidak diraikan oleh sesiapa. Kemunculan beliau secara tiba-tiba di Kampung Lukut menggemparkan orang kampung. Mereka berspekulasi hingga ada yang menuduh beliau sebagai bekas banduan.
Namun, kebaikan dan kehebatan diri Pak Rahman semakin hari semakin terserlah. Terlalu banyak budi yang ditabur dan terlalu banyak wang yang dilabur untuk membantu penduduk kampung. Kehadirannya juga membawa perubahan yang besar untuk penduduk kampung. Masjid yang sepi diimarahkan dan tanah yang terbiar diusahakan. Pemuda kampung yang asyik melepak di warung kopi juga diberi peluang untuk bekerja dengan Pak Rahman. Kebaikan beliau sangat menyentuh hati, sehingga Kudin yang amat memusuhinya menjadi orang yang paling kuat mempertahankan beliau.
Kini, kehadiran Pak Rahman kian dihargai dan disyukuri oleh semua. Kekaguman mereka makin bertambah setelah identiti sebenar Pak Rahman diketahui oleh mereka. Mereka menjulangnya kembali sebagai perwira. Inilah kisah seorang wira kemerdekaan yang perlu ditekuni oleh generasi pasca merdeka. Kisahnya penuh dengan warna-warni kehidupan dan darah perjuangan.
|
No comments
Post a Comment